More from Sarawak and Sabah? Jutst wait and C lah….

17 03 2008

S’wak, Sabah mungkin menyaksikan perwakilan yang tinggi

Posted By rajlira On 17th March 2008 @ 10:00 In Tempatan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan kabinet baru beliau yang agak kecil menjelang Selasa ini, yang akan menyaksikan muka baru yang menang dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lepas.

Tanda-tanda awal menunjukkan bahawa barisan itu mungkin mengandungi antara 26 dan 28 kementerian berbanding 31 sebelum ini, dengan sesetengah kementerian akan digabungkan.

Sejak beberapa hari lepas, Abdullah telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan semua ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk memuktamadkan butir-butir sebelum beliau membuat keputusan, yang menggambarkan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional (BN) perlu dipatuhi dan mengambilkira semua masyarakat.

Terdapat banyak spekulasi sejak beberapa hari lepas, mengenai menteri mana yang akan dikekalkan oleh Abdullah.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa menteri-menteri yang ditewaskan pada pilihan raya umum lepas tidak akan dilantik semula, ini bermakna bahawa mungkin tidak ada pelantikan sebagai senator untuk kemasukan dalam kabinet.

BN menang 140 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah dalam Parlimen, hanya kurang lapan bagi mendapat majoriti dua pertiga, sementara pembangkang mempunyai 82 kerusi. Di sesetengah negara, keputusan seperti itu boleh dianggap sebagai kemenangan besar.

Sumber-sumber memberitahu Bernama bahawa beberapa timbalan menteri Umno dan MCA dalam kabinet lama akan dilantik sebagai menteri.

MCA berkemungkinan besar mempunyai empat perwakilan muka baru dan MIC akan menampilkan seorang menteri baru buat pertama kali sejak 1979.

“Menteri MIC itu merupakan satu-satunya wakil India dalam kabinet,” kata seorang sumber yang membayangkan bahawa setiausaha agung parti dan anggota Parlimen Segamat Datuk Dr S. Subramanian mungkin diberikan jawatan tersebut.

Sumber-sumber itu juga berkata bahawa MIC mungkin diberikan jawatan dua timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen.

Kemungkinan juga ada lagi jawatan timbalan menteri yang diperuntukkan untuk masyarakat India. Sesetengah anggota MIC memberikan spekulasi bahawa Datuk K. Saravanan (anggota Parlimen Tapah yang baru dipilih) mungkin dilantik sebagai menteri.

Sumber lain memberitahu Bernama daripada pihak Umno, antara calon yang mungkin dinaikkan sebagai menteri ialah bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamad dan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shahziman Abu Mansor.

Sumber-sumber itu memberikan spekulasi bahawa Shahziman dijangka mengetuai Kementerian Penerangan, yang mungkin memperlihatkan komponen komunikasi dikeluarkan daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

Langkah ini akan menyelaraskan portfolio penerangan dan komunikasi di bawah satu payung.

MCA mengemukakan empat nama untuk jawatan menteri, yang mengandungi setiausah agung parti Datuk Ong Ka Chuan, naib presiden Datuk Ong Tee Keat, ketua Pemuda Datuk Liow Tiong Lai dan ketua Wanita Datuk Dr Ng Yen Yen.

Ka Chuan dijangka mengambil alih jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan daripada adiknya Datuk Seri Ong Ka Ting sementara yang lain mungkin memegang jawatan yang selama ini diperuntukkan bagi MCA dengan Pengangkutan kepada Tee Keat, Sumber Manusia kepada Liow dan Kesihatan kepada Dr Ng.

Jika Dr Ng dinaikkan pangkat, beliau merupakan wanita pertama memegang jawatan menteri dalam MCA.

“Kita mungkin hanya mendapat empat jawatan menteri dan lima jawatan timbalan menteri kerana kita telah memutuskan tidak mengambil jawatan setiausaha parlimen dan memilih sedikit jawatan timbalan menteri,” kata seorang sumber parti.

Sebelum pilihan raya, MCA diperuntukkan empat jawatan menteri, lapan timbalan menteri, empat setiausaha parlimen dan seorang timbalan speaker Dewan Rakyat di bawah susunan “4:8:4 + 1″.

Gerakan, yang hanya mampu mengekalkan dua kerusi parlimen, mungkin kehilangan tempat dalam kabinet kerana pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah menyatakan bahawa parti itu tidak akan meminta sebarang jawatan menteri.

Komponen BN dari Sabah dan Sarawak, yang telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam pilihan raya umum baru-baru ini, dengan memenangi masing-masing 24 daripada 25 kerusi dan 30 dari 31 kerusi yang diperuntukkan untuk ditandingi, mungkin menyaksikan perwakilan yang tinggi dalam kabinet pada kali ini.

Sumber-sumber berkata Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah meminta dua lagi jawatan menteri yang sebelum ini, adalah satu.

Parti Rakyat Sarawak (PRS) (1), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) (1) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hanya meminta jawatan seperti apa yang diberikan sebelum ini dalam kabinet dan pentadbiran itu hendaklah dikekalkan.

PBB memenangi kesemua 14 kerusi yang ditandingi, SUPP menang enam kerusi daripada tujuh kerusi yang ditandingi sementara PRS dan SPDP masing-masing mengekalkan kesemua enam kerusi dan empat kerusi yang mereka tandingi.

PBB akan sekurang-kurangnya mendapat dua jawatan menteri dan sama ada PRS atau SPDP akan memperoleh satu lagi jawatan menteri untuk mencerminkan dengan lebih baik masyarakat Dayak, kata sumber-sumber itu.

Sebelum pembubaran Parlimen, PBB mempunyai seorang sahaja wakil dalam kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi yang tidak bertanding dalam pilihan raya umum ini sementara PRS diwakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu dan Timbalan Menteri Luar Datuk Joseph Salang Gandum sementara SPDP diwakili oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr Tiki Lafe.

SPDP telah mencadangkan Dr Tiki Lafe (Mas Gading), Datuk Jacob Dungau Sagan (Baram), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu) dan Jelaing Mersat (Saratok) serta Se-nator Paul Chek Nyuk untuk jawatan kabinet persekutuan.

Masyarakat Orang Ulu telah melobi anggota Parlimen empat penggal bagi Baram, Jacob untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri memandangkan beliau akan menyelaraskan pembangunan dalam kawasan pilihan raya luar bandar itu, yang luasnya seperti Pahang tetapi kawasan yang menikmati pembangunan yang paling sedikit di negara ini disebabkan faktor pedalaman dan keluasannya.

Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) juga meminta jawatan tambahan menteri selepas memenangi kebanyakan kerusi yang ditandingi.

PBS menang dua daripada tiga kerusi parlimen, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) menang kesemua tiga kerusi parlimen yang ditandingi dan SAPP memenangi kesemua dua kerusi parlimennya.

Parti komponen lain seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) juga masing-masing memenangi satu-satunya kerusi parlimen mereka di Pensiangan dan Sandakan.

Antara mereka yang telah menang ialah Timbalan Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili, Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok (Penampang), Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup (Pensiangan) dan Presiden LDP Datuk V.K Liew (Sandakan). Sebelum ini, Sabah mempunyai tiga jawatan menteri, masing-masing satu bagi UMNO, PBS dan UPKO.

Komposisi ini mungkin dikekalkan dengan beberapa jawatan timbalan menteri baru dijangka diberikan kepada parti komponen BN Sabah. “UPKO mungkin memperoleh seorang jawatan timbalan menteri selain satu jawatan menteri sekarang,” kata seorang sumber dari Sabah.

SAPP, LDP dan PBRS masing-masing dijangka mendapat seorang timbalan menteri.

–Bernama


Article printed from The Borneo Post Online: http://www.theborneopost.com

URL to article: http://www.theborneopost.com/?p=32702


Actions

Information

One response

17 03 2008
elviza

I suspect should be more – lah. Since Sabah & Sarawak actually enable BN to form the government this time around. Kat Semenanjung? Hancur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: